Monday 24 June 2013

Qodoya Ummah Ini.

Anak-anak pelarian Syria ini masih boleh tersenyum. 

Sejujurnya, saya ini jika Tuhan tidak menghantar tangan-tangan yang mengajak saya  kumpulan aktivis ini, mungkin sahaja  saya sekarang masih dalam keadaan ketawa tidak ingat dunia ataupun masih berasa dunia ini bagai aku yang punya atau tidak endah langsung kisah hidup mereka. Alhamdulillah, Tuhan itu sentiasa memberi taufiq kepada hambaNya yang ingin kebaikan.

Tika musahabah diri, saya mulai sedar ,Tuhan mengajar diri ini erti kehambaan itu adalah melalui pengalaman.  Pengalaman demi pengalaman Tuhan hantarkan kepada saya, mungkin jiwa saya ini azalinya hanya boleh diluntur melalui pengalaman sahaja? 

Peluang bertaamul(bergaul) dengan mereka sedikit sebanyak  mengajar saya agar lebih memaknai hidup ini. Bukan hanya duduk di lingkungan pelajar malaysia sahaja. Bukan hanya  pergi balik kuliah sahaja.Bukan! Bukan sekadar itu. Memaknai hidup lebih dari itu. Lebih diluar bulatan comfort zon. 

Saat menulis tentang mereka, tertitis air mata mengenang mereka. Ego juga yang datang menyampuk,'Kau menangis?'. Sendiri senyum dengan telatah ego sendiri. Ahh..ego ini lawannya air keimanan sahaja. Simbahlah ia dengan memupuk sifat kasih sayang terhadap sesama manusia. Mudahan- mudahan egonya luntur.

*******************************************************************************
Full edited by: Saudara Ahmad Musa al-Nuwayri Kamaruzzaman(Pengarah projek)

Nukilan projek ke-2 Ramadhan bersama Syria


Projek Kedua 'Ramadhan Bersama Syria' (Klik tajuk untuk ke page Tangisan Syria di Bumi Jordan)

Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang saudara sesama Islamnya, maka mereka bukan termasuk dalam kalangan kami."

Tanggal hari Jumaat, 21/6/2013. Satu tarikh yang tidak akan kami lupakan sehingga bila-bila. Team sukarelawan 'Tangisan Syria Di Bumi Jordan' telah diizinkan oleh Allah untuk menziarahi kem pelarian Syria yang terletak kira-kira hanya 50 meter dari Universiti Al-Bayt Mafraq, Jordan tempat kami belajar. Ya, hanya 50 meter, tetapi rata-rata pelajar Malaysia sendiri tidak menyedari akan kewujudan kem pelarian Syria ini. Dan lawatan kami ke kem ini benar-benar mengajar kami erti bersyukur. Susah bagaimana sekalipun kami, masih ramai insan lain yang lebih susah. Dan kesusahan mereka adalah kesukaran yang tidak mungkin manusia biasa mampu hadapi.

Kem pelarian ini kecil sahaja. Hanya terdiri daripada 9 buah khemah yang dihuni 10 buah keluarga. Jumlah penghuni di sini adalah seramai 66 orang dan majoritinya hanyalah kanak-kanak kecil yang dipaksa menghadapi penderitaan. Mereka kesemuanya berasal dari Hama, Syria. Penempatan mereka ini dibina di atas kawasan padang pasir. Persoalan awal yang terdetik ketika itu ialah, bagaimana mereka menjalani kehidupan di kawasan padang pasir ketika musim panas yang cuaca teriknya mencecah sehingga 40 darjah celcius. Sesekali angin kuat bertiup kencang menerbangkan pasir-pasir menerjah masuk ke dada anak-anak kecil yang masih merah. Kami turut merasainya, tetapi anak-anak ini menghadapi semua itu sepanjang masa.

Kebanyakan pelarian di kem ini datang dari kem pelarian Za'atari. Disebabkan masalah kepadatan manusia yang melampau, persekitaran yang kotor, kekurangan bekalan air dan eletrik serta ancaman penculikan kanak-kanak dan gadis di sana menyebabkan mereka membuat keputusan untuk berhijrah ke sini. Mereka mengharapkan kehidupan yang lebih baik, tetapi tidak banyak perubahan yang berlaku sebagaimana yang mereka harapkan. Mereka langsung tidak dibenarkan bekerja untuk menampung kehidupan seharian dengan alasan mereka adalah rakyat Syria. Jiwa berusaha mereka memberontak. Mereka membuat keputusan untuk bekerja di sebuah ladang di belakang kawasan kem ini. Dan dengan hasil yang tidak seberapa itu, mereka gunakan pula untuk membayar bil air dan eleltrik.

Kami dijemput masuk ke sebuah khemah yang dihuni Abu Husin. Abu Husin, seorang lelaki tabah yang sudah lali dengan cabaran dan dugaan. Masakan tidak, beliau sudahpun kehilangan sebelah kaki akibat kekejaman yang dilakukan oleh Hafiz Assad, bapa kepada Bashar Assad. Menurut Abu Husin, masalah utama mereka di sini ialah masalah air dan eletrik. Mereka terpaksa berjimat dalam menggunakan air, dengan penjimatan yang maksimum. Bayangkan, anak-anak kecil di sini hanya dibenarkan menggunakan tandas sekali dalam seminggu untuk menjimatkan air. Untuk bekalan eletrik, mereka terpaksa menyambungkannya dari jiran di kawasan perumahan berhampiran, dan setiap bulan mereka perlu membayar harga eletrik itu. Andaikata mereka tidak mampu membayar harga eletrik, maka sebulanlah kehidupan dijalani dalam kegelapan.

Makanan pula tiada sesedap dan semewah kita. Mereka tidak punya ayam mahupun daging. Kentang dan terung pun hanya dapat dinikmati sesekali dua. Makan asasi arab iaitu roti juga hanya mampu dibeli sekali-sekala. Sedangkan roti tidaklah mahal, roti hanya berharga RM2.50 untuk satu plastik yang besar! Apakan daya, RM2.50 sangatlah tinggi nilainya di sisi mereka. Pakaian mereka pula hanya sehelai seorang. Dan pakaian mereka tidak lain tidak bukan seperti sehelai kain lusuh yang layak dipanggil kain buruk! Jauh dibandingkan dengan kita yang saban hari akan bertukar-tukar pakaian kerana malu memakai pakaian yang sama. Tetapi mereka tidak diberi pilihan.

Kami bertanya jika mereka mendapat sebarang bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kami terkejut bercampur kecewa apabila mereka menjawab 'tidak pernah langsung'. Kata mereka, Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya memberikan bantuan kepada mereka yang mempunyai akad ijar, atau dengan kata lain, hanya mereka yang mempunyai rumah akan mendapat bantuan. Mereka yang tinggal di khemah-khemah tidak dibenarkan untuk mengambil bantuan. Timbul persoalan tentang apa relevannya syarat itu? Persoalan yang tidak tahu kepada siapa patut kami ajukan. Namun,ada juga makhluk-makhluk Allah yang konsisten dalam memberi bantuan.

Tahukah anda siapakah yang konsisten memberikan bantuan?

Orang-Orang KRISTIAN!

Ya. Golongan kristian yang bersungguh-sungguh membantu pelarian-pelarian di sini. Tetapi golongan ini punya agenda mereka yang tersendiri. Selepas dibantu, pelarian-pelarian 
diajak ke gereja untuk mendengar pengisian-pengisian yang disampaikan! Bagaimana pelarian ini mampu menolak? Adakah ini salah mereka? Sedangkan umat Islam sendiri yang meninggalkan mereka tanpa pilihan. 

Di kem ini, kami turut berpeluang melawat keluarga Abu Ubaidah. Ibunya, Ummu Khadduj menghidap penyakit strok separuh badan. Sisa-sisa kehidupannya dihabiskan di atas katil usang di dalam khemah. Beliau hanya mengharapkan bantuan dari anak-anaknya untuk bergerak. Terdetik sejenak, bagaimana ibu ini menghadapi hari-hari dalam keadaan persekitaran yang berdebu. Beliau sepatutnya ditempatkan di tempat yang bersih untuk menjaga kesihatannya yang sedang meruncing.

Pengalaman melihat pelarian-pelarian di sini menjalani kehidupan yang sukar dan ketabahan anak-anak Syria yang riang berkejaran di atas pasir di bawah cahaya terik matahari tanpa alas kaki benar-benar mengajar kami erti pergantungan hidup pada Allah. Tidak ada seorangpun di antara mereka yang mengeluh, jauh sekali yang lantang menyalahkan takdir. Mereka tetap meneruskan kehidupan dalam senyuman.

Bagi projek 'Ramadhan Bersama Syria' ini, kami membuka peluang seluas-luasnya kepada mana-mana insan prihatin untuk sama-sama beramal sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba. Apa guna jika kita tenang menjalani ibadah di dalam bulan mulia sedangkan mereka di sini berpuasa tanpa mempunyai wang untuk berbuka. Mereka memerlukan sumbangan-sumbangan dari anda untuk berpuasa dengan gembira dan beribadah dengan selesa.

Sumbangan yang anda salurkan akan kami serahkan sendiri kepada mereka pada majlis serahan kali pertama pada 30 Julai 2013 nanti. Projek ini juga akan terus berjalan selagi mana khemah-khemah ini wujud. Moga Allah menilai setiap sumbangan anda di akhirat kelak. Insya Allah.

Untuk sebarang bantuan atau pertanyaan, sila berhubung dengan saya di: FB:https://www.facebook.com/musa.nuwayri Bank-in ke 03010106139527(CIMB) atas nama Ahmad Musa Al-Nuwayri(akaun ini tidak sama sekali bercampur dengan akaun peribadi saya)

Usah Sedih Jika Anda Tidak Mampu, 'SHARE' Juga Sudah Sangat-Sangat Membantu.

#Projek ini adalah kerjasama 'Tangisan Syria Di Bumi Jordan' bersama 'Akademi Ramadhan Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-Bayt Jordan (AKRAM)



Jadi, anda bagaimana? 

Sudikah membantu meringankan beban mereka.?

Saturday 22 June 2013

Berhadapan dengan realiti

Sudah tiba masanya berhadapan dengan realiti, bukan hanya bertahan di alam tulisan sahaja. Tuhan seakan-akan menyuruhku keluar dari alam tulisa untuk dibuktikan dengan lakuan. Ya. Aku merasa sangat berat. Tapi inilah yang perlu dihadapi demi sebuah cita-cita agar Islam itu kembali ke puncaknya. Aku tidak mampu menapak seorang diri, Alhamdulillah, jiwa-jiwa kesedaran wujud di sekeliling. Namun ,jalan ini masih panjang, masih belum jelas bagaimana likunya. Moga Allah permudahkan segalanya.


Bersama iman. menginsafi diri 


Bersama warga AB Al-Bayt Uni 

Cipta hati gapai hati rabbani. bayangan murabbikah?

Saling membina dan menguatkan untuk thabat di jalan ini,