Wednesday 1 February 2012

Kita Lebih Perlu Kepada Kebaikan Itu..~langitilahi.com~

Posted by: Posted date: February 01, 2012
Jalan yang betul, kalau tak dilalui dengan betul, akan mengakibatkan keciciran juga. ~ Picture by http://oliwr.deviantart.com/
Tidak mudah juga melakukan kebaikan. Kadang, yang melakukan kebaikan pun akan diuji. Bila sentiasa melakukan kebaikan, kadang-kadang, terlintas di hati kita.
               ‘Oh, aku dah qiam pagi tadi. Bagus juga aku ni. Diorang tu dahla tak buat langsung, subuh pun lambat.’
               ‘Aku dah puasa sunat hari Khamis hari tu. Cukup dahla.’
               ‘Asyik-asyik aku. Mak ni, abang ada, kakak ada. Apa fasallah asyik-asyik aku je yang kena?’ dan kita mula rasa tidak puas hati.
Aku buat begini, begini dan begitu, terpaksa pula berdepan dengan susah payah, tetapi mereka itu, dah la tak buat apa yang aku buat,lepas tu tak payah susah payah macam aku.
Kenapa dan kenapa?
Kenapa aku yang perlu hidup begini?


KITA AKAN RASA MARAH, TAK PUAS HATI  BILA MELIHAT ORANG LAIN BERSENANG-LENANG, TIDAK MELALUI KESUSAHAN YANG SAMA
Bila kita bandingkan kebaikan yang kita buat dengan orang lain, kita akan rasa marah dan geram bila melihat kita bersusah-payah untuk buat kebaikan itu sedangkan orang lain pula tak bersusah-payah macam kita.
Bila kita bandingkan betapa susah payahnya kita buat sesuatu kebaikan, kemudian kita tengok orang lain pula ambil mudah saja dengan kebaikan tersebut. Rasa nak buat, buat. Rasa tak mahu, tinggalkan.
Ya. Memang kita akan rasa marah dan geram pun.
Kita berpenat lelah, berusaha mengubah diri dengan bersungguh-sungguh dari kurang baik menjadi yang lebih baik, tetapi orang lain yang sudah lebih baik dari kita tetapi tidak bersungguh-sungguh melakukan kebaikan seperti kita.
Kita susah payah bangun malam untuk qiamullail, orang lain buat lebih kurang saja. Kadang-kadang Subuh pun tak terjaga.
Kita susah payah bantu ibu dan ayah kita, bukan sekali, bukan dua kali, tetapi berkali-kali. Sedangkan adik-beradik kita yang lain, sudahlah jarang disuruh, kadang buat tak tahu je dengan keluarga.
Geram. Marah. Semuanya ada.

OK. BERHENTI DULU. MARI TENGOK DIRI KITA.
Apa kata, mari kita berhenti sekejap melihat apa yang orang lain tidak buat.
Ya, berhenti sekejap.
Kalau membandingkan susah payah kita untuk melakukan kebaikan dengan orang lain itu boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian dalam hati kita, maka mari kita berhenti dulu untuk itu.
Berhenti dan marilah memerhati diri.

BOLEH JADI KITA INI, LEBIH MEMERLUKAN KEBAIKAN ITU DARI MEREKA
Saya suka, bila timbul perasaan begini, duduk dan perhatikan diri saya sendiri.
Kadang-kadang ada baiknya perkara ini jadi kepada kita.
Kita susah-payah melakukan kebaikan, sedangkan orang lain ambil mudah sahaja dengan kebaikan itu.
Rasa mahu buat, mereka buat. Rasa tak mahu, mereka tinggalkan.
Bila fikir-fikir semula, ada bagusnya. Ada kemungkinan kita ini, dosa lebih banyak daripada mereka itu.
Mereka itu, mungkin kebaikannya taklah sebanyak kita. Dan mereka itupun, mungkin taklah baik sangat. Tetapi, sekurang-kurangnya dengan apa yang mereka tahu dan mampu, mereka masih berusaha menjaga diri mereka.
Pandanglah diri kita lebih dari orang lain. Boleh jadi dengan sebab banyaknya dosa dan kesilapan pada hati kita, maka kita lebih perlu kepada kebaikan yang kita lakukan itu berbanding orang yang kita bandingkan itu.
Ya. Saya suka melihat begitu. Biar orang lain tidak buat pun kebaikan sepertimana yang kita buat. Tetapi, kita tetap teruskan seperti biasa.
Kerana hakikat yang sebenar, kita mungkin lebih memerlukan kebaikan itu untuk membersihkan jiwa kita daripada dosa-dosa yang banyak berbanding orang lain.

SEBAB ITU, JANGANLAH TERTIPU DENGAN KEBAIKAN YANG KITA PERNAH LAKUKAN
Ada orang rasa cukup dan rasa puas dengan sedikit kebaikan yang telah dilakukannya.
Ada orang melihat, bila dia telah melakukan kebaikan, maka itu sudah cukup. Orang lain tak baik, tak ada masalah baginya.
Ada orang pula, bila dirinya sibuk dengan kebaikan, dan dia perhatikan orang di sekitarnya tidak sibuk dengan kebaikan juga, maka dia menyalahkan orang-orang itu pula yang tidak menyibukkan diri sama seperti dia.
Berhentilah menjadi orang yang tertipu dengan kebaikan.
Ada seorang abid. Beliau telah beribadah selama hampir 500 tahun lamanya.
Setelah tiba masa perhitungan di depan Allah, apakah yang beliau minta daripada Allah?
        “Ya Allah, aku tak mahu masuk syurga dengan rahmat-Mu, tetapi aku nak masuk syurga dengan amal ibadahku.”
Cukuplah Allah mengambil sebiji matanya untuk ditimbang dengan amalannya selama 500 tahun, dan ternyata sebiji matanya lebih berat timbangannya daripada amalnya yang selama hampir 500 tahun itu.
Baru sebiji mata, itupun sudah tidak mampu dibayar dengan harga amalan selama 500 tahun.
Kita? Hidup tidak sampai 100 tahun, lalu bahagian nikmat Allah yang mana mampu kita bayar?
Maka, ketika itu, Si Abid pun berkata, “Aku ingin masuk syurga dengan rahmatmu.”

PENUTUP : MAKA YANG KITA PERLU ADALAH MENGHITUNG DOSA, BUKAN SIBUK MENGHITUNG BANYAKNYA PAHALA
Sekali-kali kita tidak akan masuk syurga dengan banyaknya amal kebaikan kita.
Dan janganlah sangka, orang lain yang masih bergelumang dengan dosa mereka hari ini, memang ‘confirm-confirm’ akan masuk neraka.
Tidak. Tidak sekali begitu.
Boleh jadi, mereka yang hari ini, tidak hidup dengan cinta terhadap kebaikan, hari esok kalau mereka berubah, mereka mungkin lebih baik dari kita.
Boleh jadi juga, kita yang hari ini hidup dalam kebaikan, suka buat yang baik, tiba-tiba esok kita berubah menjadi lebih teruk dari mereka.
Ya. Kemungkinan-kemungkinan yang kita tidak dapat jangkakan.
Maka, apakah yang masih menjadikan kita rasa tak puas hati, marah dan geram bila orang lain tidak melakukan sama sepeti apa yang kita lakukan?
Tidak. Tidak ada apa yang sepatutnya menimbulkan lagi rasa tidak puas hati dalam diri kita terhadap orang lain.
Bila kita sibuk memikirkan betapa banyaknya dosa kita, dan betapa sikitnya kebaikan kita dibandingkan dengan dosa yang kita lakukan, maka tidak ada ruang untuk kita sibuk dengan perasaan tidak puas hati kita terhadap kebaikan yang tidak dilakukan oleh orang lain.
Bila kita sibuk memikirkan betapa kita, masih banyak dosa yang belum dibersihkan, maka tidak ada kebencian terhadap manusia yang tidak lakukan kebaikan sama seperti apa yang kita lakukan.
Teruskanlah dengan kebaikan yang telah kita lakukan.
Jangan rasa lelah bila melihat orang lain tidak melakukannya.
Kerana Allah sentiasa ada memerhatikan.

About The Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

No comments:

Post a Comment